Kata orang-orang tua dahulu, ‘pohon kelapa kalau sudah condong, kura-kura pun nak cuba panjat’.
Silap perkiraan mereka ini. Jika fikiran mereka sudah berkecamuk, terasa mereka mampu menstabilkan politik, mereka lebih kuat dan lebih keras dari PM. Mereka sahaja mampu mencengkam dan mereka akan menjadi PM lebih hebat atau setidak-tidaknya setanding dengan PM terdahulu, maka timbulkan cakap-cakap begini;
“Kena fikirkan semula tarikh peralihan kuasa,”
Kenapa ya (?), dalam bulan Julai, mereka ini boleh bersetuju, tetapi dua bulan kemudian, September, mereka tiba-tiba ‘mahu mengajak difikirkan semula’ sesuatu yang mereka sudah persetujui bersama.
Apakah orang seperti ini, yang berubah-ubah pendirian mereka dalam tempoh 60 hari, tidak stabil pemikiran mereka dan kelihatan sanggup memalukan institusi Perdana Menteri di luar negara, boleh diharapkan memimpin Malaysia di masa depan?
Menjadi PM, bukan sahaja kerana sokongan perwakilan. Untuk menjadi PM, bukan sahaja kerana undi rakyat. Banyak faktor lain dan antaranya, kehendak Yang Maha Kuasa.
Dalam isu politik Malaysia sekarang, fokus orang ramai sekarang ialah terhadap Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Bagi mereka yang menyokong Muhyiddin atau, gelaran popular di kalangan para penyokongnya, MY, Muhyiddin dianggap cukup berani.
Keberanian Muhyiddin mereka samakan dengan keberanian Hang Jebat mempertahankan sahabatnya, Hang Tuah yang dihukum Sultan Melaka kerana fitnah jahat ‘orang-orang Istana’ yang cemburukan keakraban Hang Tuah dengan Sultan.
Cuma, Muhyiddin mungkin lupa, keberanian tanpa akal yang waras menyebabkan Hang Jebat mati dibunuh. Namun, Hang Tuah yang sabar dan mendapat ‘perlindungan’ akhirnya ‘hidup’ dan kembali ke istana.
Muhyiddin mungkin tidak sanggup menjadi ‘Sang Rajunatapa’ yang membuka pintu kepada musuh untuk membenarkan musuh menyerang Melaka. Jika tidak sanggup melihat Malaysia ‘diserang’, mengapa Muhyiddin sanggup bercakap isu politik negara di Singapura?
Adakah kerana Muhyiddin merasakan Singapura adalah ‘tempatnya’ ketika dia menjadi Menteri Besar Johor dulu? Singapuralah tempat paling sesuai mengadakan perbincangan dengan ‘kroni-kroni’ termasuk Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari?
Jika Dr. Mahathir Mohamad pernah dikatakan risau melihat Muhyiddin yang terlalu ‘mewah berpakaian’ ketika menjadi MB Johor, hingga memaksa Anwar Ibrahim ‘berbisik kepada Muhyiddin’ supaya berpakaianlah secara sederhana, apakah hari ini, Muhyiddin merasakan dia tidak mempunyai apa-apa dosa terhadap politik Negara ini?
Muhyiddin tidak perlu menjadi Hang Tuah. Muhyiddin juga tidak perlu sabar seperti sabarnya Hang Tuah. Tetapi ketika tidak perlu menjadi Hang Tuah, kenapa Muhyiddin berkelakuan seperti Hang Jebat?
Jangan kerana kekecohan yang dibuatnya menyebabkan orang mengungkit sejarah silamnya ketika di Johor. Jangan sampai orang teringat bagaimana ’satu fail BPR’ terpaksa ‘dipangkah’ kerana kononnya demi kepentingan politik.
Jangan nanti ada orang menyebut isu ‘Mount Austin’ selain dari cerita pengswastaan air yang berkali-kali keuntungan dikaut oleh syarikat swasta – tentunya kepunyaan ‘kroni’ sedangkan rakyat – menanggung bebannya.
Sabarlah! PM yang Muhyiddin kurang senangi ini sebenarnya PM yang meletakkan Muhyiddin di kerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Jika sebelum ini dia dilantik menjadi Menteri Pertanian, kementerian yang kurang glamour bagi Muhyiddin yang suka berbaju besar – tetapi selepas Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanianlah kementerian yang paling besar dari segi keanggotaan staff, agensi di bawahnya dan peruntukan yang diberikan.
Ketika Muhyiddin ‘dilihat’ naik pangkat, sedarkan Muhyiddin bahawa ramai rakan-rakannya terkeluar dari jemaah menteri? Sebenarnya Muhyiddin sudah terlalu lama dalam kerajaan.
Mungkin dia sudah rasa jemu. Maklumlah, dia dilantik menjadi Setiausaha Parlimen dalam tahun 1981. Sejak dari itu, dia berterusan memegang pelbagai jawatan termasuk timbalan menteri, Menteri Besar dan kemudiannya kembali ke Kuala Lumpur sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini MITI.
Tahukah Muhyiddin, Tan Sri Mohamed Rahmat hanya duduk di Kementerian Penerangan dari mula sampai akhir? Walaupun pernah digugurkan tetapi kemudiannya dilantik semula di kementerian yang sama.
Begitu juga denga nama-nama lain seperti Datuk Abdullah Mohd Zin, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, Tan Sri Sabbaruddin Chik, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan jika di kalangan parti komponen, lebih ramai lagi yang tidak merasa pindah kementerian.
Kenapa perlu pindah-pindah kementerian? Tentunya PM mahukan dia mendapat banyak pengalaman, sebagai persediaan menjadi pemimpin besar suatu hari nanti.
Malang seribu kali malang, manusia Muhyiddin hanya dapat satu pengalaman yang mungkin dianggap sebagai keberanian – mendesak Pak Lah berundur, sedangkan jika Muhyiddin merasakan dia sudah tidak dapat menerima kepimpinan Pak Lah, berundurlah!
Bukankah lebih mudah Muhyiddin yang berundur daripada mendesak Pak Lah berundur. Pak Lah mempunyai banyak kerja lagi, yang mahu dibereskan kerana ‘itu amanah’ yang dipikulnya sebagai Perdana Menteri – sedangkan kerja Muhyiddin sekarang hanya satu – menjadi jurubicara Tun Dr. Maharthir membuat desakan supaya Pak Lah berundur.
Kerja yang Muhyiddin buat ini, sebenarnya sudah dimulai oleh anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz. Jika Mukhriz memulakan, Muhyiddin dilihat mengekorinya!
Lebihnya Muhyiddin dalam hal ini, dia bukan sahaja bercakap di Malaysia malahan terlajak sampai di Sinagpura – satu permainan yang menyerupai permainan Anwar Ibrahim.
Oleh Fuad Rahim
sumber : KPMU
1 comment:
This is great info to know.
Post a Comment