Kisah Orang Tua Yang Marah
A Kadir Jasin
[TOLONG JANGAN BUANG MASA ANDA. ULASAN ANONYMOUS TIDAK AKAN DISIARKAN. SILA BACA BETUL-BETUL PERINGATAN DI BAWAH].
[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
DENGAN izin dan permohonan maaf, saya ingin menulis sesuatu yang peribadi kali ini iaitu mengenai ayah saya.
Saya pernah sekali sekala dan sepintas lalu menyebut mengenai beliau dalam tulisan-tulisan saya sebagai lulusan darjah empat sekolah Melayu dan lebai pondok yang berfikiran terbuka.
Saya terfikir dan berasa perlu menyebut mengenai beliau kerana pada usia 84 dia tiba-tiba melalui satu lagi transformasi – dia menjadi “seorang tua yang berang” – an angry old man.
“Kita orang kampung ni nak beli ikan temenung pun fikir dua kali. Semua harga dah naik. Ni pemimpin Umno dok berebut beli kereta mahal,” katanya dua hari lalu.
(Dia bercakap loghat Kedah yang saya bakukan untuk mudah difahami. Kereta mewah yang dimaksudkan itu adalah pembelian kereta Mercedes E200 oleh kerajaan Barisan Nasional Terengganu yang dibangkang oleh kerajaaan BN pusat. Ikan temenung adalah ikan kembung dalam loghat Utara.)
Kebetulan ketika dia sedang membaca berita itu dari akhbar Utusan Malaysia, adik lelakinya datang berkunjung ditemani isteri dan menantunya. Tambah rancaklah ayah saya berhujah kerana adiknya itu adalah “musuh politiknya” sejak berdekad.
Sehingga beberapa tahun lalu, Umno adalah perjuangan hidup mati ayah saya. Bagi adiknya, Pak Su Salleh, pula Pas adalah darah dagingnya.
Tetapi dek kerana mereka adalah dua orang daripada 16 orang anak Penghulu Tahir, Tobiar yang “paling tinggi” pendidikan, maka mereka tidak bergaduh, pulau-memulau atau menuduh sesiapa kafir kerana ideologi pilitik.
“Aku tegah depa bayar yuran. Aku tak mahu jadi ahli Umno lagi. Biar m----s pi,” katanya merujuk kepada yuran tahunan keahlian Umno.
Pak Su Salleh yang juga lebai pondok yang berguru hingga ke Kelantan adalah pemimpin tempatan Pas dan kawan akrab Allahyarham Fadzil Noor, bekas Presiden Pas dan Ahli Parlimen Pendang.
“Aku pun dah serah balik senapang aku,” katanya dalam nada sedih campur marah.
Senapang patah yang sudah tua itu adalah simbol patriotisme dan perjuangan ayah saya. Ia diperoleh pada tahun 1948 ketika dia menjadi anggota Home Guard kampung Tanah Merah, Pendang.
Home Guard ditubuhkan oleh British sebagai barisan pertahanan akar umbi dalam usaha memerangi gerakan bersenjata Partai Komunis Malaya (PKM) ketika darurat 1948-1960.
Penyerahan kembali senapang patah itu adalah simbol protes beliau terhadap apa yang dilihatnya sebagai ketidakpedulian pemerintah terhadap rakyat jelata dan penyimpangan perjuangan Umno.
Perjuangannya, kata ayah, sudah tidak bererti lagi apabila para pembesar hanya mementingkan diri, kaum keluarga, sahabat handai dan kroni. (Istilah kroni itu dipelajarinya daripada media massa arus perdana yang menjadi sumber maklumatnya.)
Begitu marah dia dengan pembesar Umno sehingga dia tidak pun berasa hampa apabila Umno kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu dan Kedah jatuh ke tangan Pas.
“Tak pa, Pas pun Paslah,” katanya kepada saya kali pertama saya pulang menemuinya selepas pilihan raya lalu.
Tak pa (tidak mengapa), katanya, kerana orang Pas tak sombong macam dulu lagi dan Ustaz Azizan Abdul Razak (Menteri Besar) pun bagus.
Pada pilihan raya itu, buat kali pertama, dia tidak “mewajibkan” anak menantunya keluar mengundi. Sebelum itu, balik kampung, keluar mengundi dan memangkah BN adalah kemestian bagi anak menantu Haji Jasin bin Tahir.
Dia berkata kepada adiknya: "Allah Taala hantar Jepun mai ke Malaya untuk naikkan semangat orang Melayu. Orang Melayu berjuang mati-matian tuntut merdeka. Hari ini depa hancurkan bangsa. Allah Taala turunkan bala."
Dia membuat kesimpulan berikut:-
1. Pemimpin Umno lama yang berpendidikan dan dari latar belakang keluarga yang berada adalah lebih komited kepada perjuangan dan tidak terlalu bermata duitan; dan
2. Pemimpin generasi baru dari latar belakang yang miskin atau sederhana kurang semangat perjuangan dan mudah terpedaya oleh wang ringgit.
Orang tua Umno yang marah ini pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian pada tahun 1960an dan 1970an, dan berkali-kali memikul gulungan tikar dan bantal untuk menghadiri perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.
Salah satu punca orang tua Umno ini terus marah adalah kerana dia terus membaca akhbar pilihannya, Utusan Malaysia. Setiap pagi selepas membaca akhbar itu, kemarahannya berulang semula.
Untuk berita TV dia menonton TV9 dan mengisi lebihan masanya dengan mendengar bacaan al-Quran oleh imam-iman Masjid Makkah dan Madinah dari cakera padat.
Minta maaf kalau cerita ayah saya ini tidak relevan buat saudara dan saudari dan membosankan. Tetapi saya berasa terhutang budi untuk menceritakan keluh kesah seorang tua yang sepanjang usianya komited kepada perjuangan.
Nota kaki: Hanya orang yang dangkal (dan tamak) sahaja akan membandingkan prestasi Mercedes E200 dengan Proton Perdana dan kemelut Mercedes lwn Proton ini adalah satu lagi petanda (symptom) kerajaan yang hilang kawalan dan tidak boleh dikawal. Suatu lagi kejadian yang menghina rakyat jelata yang dilanda inflasi dan kenaikan harga.
Komen Tok Janggut : orang tua cepat marah. Terasa hati. dan tidak terkecuali orang muda. Walaupun dari golongan tidak perasan sudah tua.
Tua umur hati muda tanda keimanan kepada Allah.
Tidak patut satu negeri menjadi contoh buruk dan diburukkan ke atas kepada Parti Sang Saka bangsa bernama UMNO.
Ia kiasan tidak sejalan dengan perintah Tuhan yang menggalakkan kita menjaga kata kata dan mengelakkan sangka sangkaan tidak berfaedah untuk agama bangsa.
No hal saya dapat terima pandangan beliau untuk dibaca tetapi tidak sesekali untuk diterima oleh minda saya !
A Kadir Jasin ( gambar di atas ) orang kuat Tun Mahathir. tentu tidak jauh bezanya dengan Tun dari segi tulisan dan pandangan. Kedudukan bekas Ketua Pengaran NST tentu ada kaitannya dengan Tun mahathir selaku PM dan buktinya ( klik sini ) bagaimana hingga sekarang beliau masih aktif menjadi supporter untuk bekas PM Tun Mahathir seperti mana siaran blog suara rasmi penyokong Tun iaitu Bogdotcom...
Satu persepsi seperti pepsi, berbuih tetapi tiada kebaikan bahkan lama lama boleh memudaratkan badan... Itulah rumusan artikel orang tua marah di atas.
Adakah juga suara hati seorang tua terpencil selepas ternama yang bernama Datuk A Kadir Jasin juga yang sudah berubah penuh di kepala ?????
Mungkin ye mungkin tidak.... Anda tahu lebih dari tok janggut !
No comments:
Post a Comment